Friday, 19 July 2013

Cerita Padang Pasir 3

Program ziarah dalam Madinah.

Ziarah ini merangkumi ziarah ke Masjid Nabawi (dah unofficially ziarah malam semalam), ziarah makam Rasulullah SAW, para sahabat dan perkuburan Baqi' di sebelah kiri masjid.

Jemaah aku terpaksa digabungkan dengan jemaah lain kerana Ust Fawaz (mutowif jemaah) ada perkara lain untuk diuruskan. Suasana sepanjang jalan ke masjid nabawi masih sepi seperti malam tadi, bahkan suasana dalam masjid juga agak lengang. Ini sebab orang-orang Arab hidup pada malamnya tapi pada waktu dhuha, itulah waktu tidur mereka.

Kami diminta untuk mengambil masa selama 15 minit untuk menunaikan solat tahyatul masjid dan solat dhuha serta menziarahi makam Rasulullah SAW. Makam baginda terletak berdekatan dengan raudhah, cuma tak sempat diziarahi malam semalam.

Sekali lagi aku ambil peluang untuk ke raudhah dan sekali lagi, Alhamdulillah berjaya mengambil tempat untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Seperti biasa, keadaan di raudhah amat sesak dengan segala manusia. Satu pengalaman yang manis sebab dapat tengok ramainya umat Islam dari seluruh pelusuk dunia.

Ziarah makam Nabi Muhammad SAW. Para jemaah dibenarkan untuk melalui sebelah makam baginda untuk berdoa dan bertawassul. Sebelah makam baginda terletak makam Syaidina Abu Bakar R.A dan Syaidina Umar Al-Khattab R.A. terdapat juga polis dan petugas masjid untuk memastikan kelancaran pergerakan jemaah.

Seterusnya, bergerak ke luar masjid menuju ke sudut kiri perkarangan masjid untuk ke perkuburan Baqi'. Perkuburan ini menempatkan para sahabat seperi Syaidina Uthman Affan dan para isteri Nabi R.A. Namun begitu, pada masa kami ke sana, perkuburan ini ditutup. Mutowif kami mencadangkan untuk pergi pada sebelah petang.

Esoknya, program ziarah luar Madinah. lebih dikenali sebagai ziarah ke kota madinah.

...bersambung...